Saturday 9 April 2011

MINGGU BAHASA


Minggu Bahasa akan bermula pada 11 April 2011 iaitu pada minggu hadapan. Diharapkan semua guru telah menyiapkan bahan-bahan minggu bahasa. Jadual Minggu Bahasa akan dimuatnaik tidak lama lagi.

Panduan umum untuk pentadbir sekolah

BERIKUT ialah gambaran senarai semak untuk menjadi rujukan kepada pihak sekolah menilai aspek pelaksanaan dan pencapaian sekolah masing-masing.

1.Prestasi pelajar ditanda aras dengan penilaian dan piawaian antarabangsa. Sudahkah sekolah anda mencapai tahap antarabangsa atau masih di takuk lama? Atau anda sebenarnya tidak peduli?

2.Sistem pendidikan negara akan terus menekankan penerapan nilai dan etika yang menjadi asas penting kepada pencapaian Wawasan 2020. Adakah masalah disiplin di sekolah anda menjadi-jadi? Atau semakin baik?

3. Dianggarkan 10 peratus guru besar dan pengetua berprestasi rendah akan diberi latihan kemahiran pengurusan sebagai usaha untuk meningkat prestasi mereka. Bagaimana dengan prestasi anda? Anda perlu ke Institut Aminuddin Baki (IAB)?

4. Kaedah penyampaian latihan di IAB akan berubah daripada berasaskan syarahan kepada penekanan terhadap pembelajaran berdasarkan pengalaman. Kursus pendidikan dan pengurusan akan dijalankan di kampus dan secara atas talian menggunakan platform e-learning, serta dilengkapi repositori pengetahuan digital. Adakah anda mengikuti perkembangan baru ini?

5. Setiap tahun, kementerian menerima lebih 175,000 permohonan untuk menyertai profesion keguruan dan 20,000 orang ditempatkan di sekolah. Ramai pemohon tidak mempunyai sikap dan aptitud yang sesuai untuk menjadi guru. Bagaimana dengan prestasi guru lepasan maktab yang ditempatkan di sekolah anda? Adakah beliau perlu latihan susulan?

6. Bagi Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) pula, hanya 3 peratus pemohon mempunyai purata gred terkumpul 3.5 dan ke atas daripada 4.0. Ini menunjukkan profesion keguruan bukanlah pilihan calon cemerlang. Apakah anda merasakan layak untuk lepasan guru seperti ini mengajar di sekolah anda?

7. Menarik siswazah cemerlang menyertai profesion keguruan adalah kritikal dan kerajaan akan melancarkan kempen profil tinggi untuk meningkatkan kesedaran tentang keguruan sebagai profesion yang berprestij. Apakah sumbangan anda kepada guru praktikum yang ditempatkan di sekolah anda?

8. Kerajaan akan mengambil langkah untuk meningkatkan kualiti dan ketekalan latihan praktikum kepada guru pelatih, seperti memanjangkan tempoh latihan praktikum dan meningkatkan kerjasama guru berpengalaman yang mempunyai kemahiran membimbing yang tinggi untuk menyelia guru pelatih. Apakah sumbangan anda kepada guru praktikum yang ditempatkan di sekolah anda?

9. Dalam tempoh rancangan, latihan praktikum kepada guru pelatih akan ditingkatkan - KPLI akan dilanjutkan daripada satu tahun kepada satu tahun setengah untuk meningkatkan pengalaman praktikum guru pelatih. Apakah sumbangan anda kepada guru praktikum yang ditempatkan di sekolah anda?

10. Program praktikum akan menjadi sebahagian daripada penilaian prestasi sekolah dan guru pembimbing. Adakah anda mahu mengambil kesempatan daripada peluang ini dengan memastikan sekolah benar-benar menyumbang kepada program praktikum ini?

11. Pada masa ini, guru pelatih daripada IPG dan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dijamin pelantikan sebagai guru tanpa mengambil kira prestasi mereka. Jaminan pelantikan ini akan dihapuskan dalam tempoh rancangan. Dengan ini, hanya guru pelatih yang memperoleh pencapaian terbaik dan berkelayakan akan ditawarkan jawatan guru. Apakah peranan anda membantu melahirkan guru berkualiti?

12. Pelaksanaan latihan perguruan akan diperluaskan kepada universiti swasta berbanding hanya daripada IPG dan IPTA. Bagaimana anda boleh membantu meningkatkan program keguruan di sekolah anda? Adakah anda bersedia melepaskan guru melanjutkan pelajaran di bawah sistem terbuka ini?

13. Guru berijazah di sekolah menengah daripada 89.4% dalam tahun 2009 kepada 90.0% menjelang tahun 2015. Bagi sekolah rendah pula, kadar ini akan ditingkatkan daripada 28% dalam tahun 2009 kepada 60% menjelang tahun 2015. Bagaimana anda boleh membantu meningkatkan program keguruan di sekolah anda? Adakah anda bersedia melepaskan guru melanjutkan pelajaran di bawah sistem terbuka ini?

14. Melalui inisiatif Tawaran Baru, pergerakan gred yang lebih cepat berasaskan kompetensi dan prestasi akan dilaksanakan. Laluan cepat untuk kenaikan pangkat secara automatik akan diberi kepada semua guru tanpa mengira tempoh perkhidmatan dan keperluan memajukan permohonan. Sistem laluan kerjaya baru dijangka bermula pada tahun 2011 dan dilaksana sepenuhnya menjelang tahun 2015. Apakah sikap anda terhadap prestasi guru anda? Terbuka atau pilih kasih? Atau anda gentar untuk bersikap jujur?

15. Dalam tempoh rancangan, kurikulum baru untuk sekolah rendah dan menengah akan diperkenalkan. Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah akan diganti dengan Kurikulum Standard Sekolah Rendah pada 2011 dan ini akan diikuti dengan kurikulum baru untuk sekolah menengah. Kurikulum baru berbentuk modular ini akan memberi peluang kepada setiap pelajar melalui proses pembelajaran mengikut kemampuan sendiri. Adakah anda sudah bersedia menerima kurikulum baru dan mengadakan program perubahan sikap kepada guru anda?

16. Sebagai usaha untuk membentuk pelajar yang seimbang dari segi akademik dan kesukanan, kurikulum baru ini akan menjadikan sukan sebagai satu subjek mata pelajaran bermula tahun 2011. Dasar '1Murid, 1Sukan' mewajibkan setiap pelajar mengikuti sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan. Setiap pelajar dikehendaki mengikuti aktiviti sukan pilihan masing-masing selama 90 minit seminggu bagi sekolah menengah dan 60 minit bagi sekolah rendah. Adakah anda sudah bersedia melaksanakan program yang penting ini?

(Sumber Portal Pendidikan Utusan)

Kelas 2020: Sekolah lemah dipantau


KERAJAAN akan membantu sekolah yang kurang berdaya maju untuk melaksanakan impian kelas 2020, melalui program penambahbaikan pencapaian sekolah, dengan fokus memperbaiki pencapaian pelajar, dan menjadikan semua sekolah berprestasi tinggi menjelang tarikh keramat itu.

Bagaimanapun, sekolah yang telah menjalankan program penambahbaikan diminta meneruskan inisiatif mereka. Dalam kes ini, program penambahbaikan sekolah akan membantu memudahkan program sedia ada oleh pihak sekolah.
Ke arah itu, satu sistem pengumpulan data berpusat dan mekanisme bantu kendiri akan diperkenalkan bagi membolehkan guru menjejak dan mencapai maklumat tentang pencapaian sekolah masing-masing, dan apakah langkah yang boleh dilakukan untuk menambah baik.

Program itu yang dilancarkan baru-baru ini, bertujuan menangani isu kritikal tenaga kerja yang mampu berdaya saing - khususnya dalam mengejar impian menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020.
Program penambahbaikan sekolah ini akan menjadi asas kepada usaha untuk semua sekolah mencapai standard sekolah berprestasi tinggi.

Semua pengetua dan guru besar akan diberi kuasa autonomi untuk mengurus tadbir sekolah, mengurus sumber yang sedia ada dan menghasilkan pelajar seperti mana yang diharapkan.
Program penambahbaikan sekolah terdiri daripada tiga elemen, yang akan dilaksanakan mengikut urutan berikut:

1. Pengkelompokan - Sekolah akan diberi penarafan mengikut kelompok pencapaian. Antaranya mengikut Piawaian Gred Purata Sekolah (GPS) dan Piawaian Kualiti Pendidikan Malaysia (SQEM). Status ranking ini akan dimaklumkan kepada sekolah pada setiap tahun.

2. Perkakasan penambahbaikan sekolah - Data keperluan khusus sesebuah sekolah akan dikumpul, membantu pentadbir sekolah membuat keutamaan dan perancangan, dan memudah cara; diskusi berterusan antara pihak sekolah dengan Jabatan Pelajaran Negeri.

3. Talian khidmat - Mengenal pasti ruang yang perlu diperakui berdasarkan bukti yang telah dikumpulkan, akan disalurkan dari Kementerian Pelajaran kepada sekolah, dengan sasarannya ialah para pengetua, pelajar dan ibu bapa - selain infrastruktur.

Sementara program sekolah berprestasi tinggi bertujuan meletakkan tahap sekolah pada satu kedudukan yang cemerlang, program penambahbaikan sekolah ini pula bertujuan meningkatkan mutu semua sekolah, serta menghubungkan segala inisiatif yang ada di KPM, seperti inisiatif baru kepada pentadbiran sekolah, program literasi dan numerasi (LINUS) serta transformasi kurikulum.

Program penambahbaikan sekolah lebih bersifat berpusatkan sekolah. Hal ini bagi membolehkan pengetua atau guru besar memiliki kuasa autonomi untuk melaksanakan program penambahbaikan - sama ada berkaitan hal pentadbiran sekolah atau penambahbaikan program keguruan masing-masing.
Program kali ini bukan lagi berfokus kepada kawasan atau sekolah tertentu. Program ini akan meliputi 10,000 buah sekolah di seluruh negara.

Pengenalan kepada inisiatif pengkelompokan sekolah adalah sebahagian daripada kelancaran program inisiatif dan tawaran baru kepada pengetua dan guru besar, dengan mutu perkhidmatan mereka menjadi pertaruhan.
Di bawah program penambahbaikan sekolah, pengkelompokan memberi gambaran kepada pencapaian sesebuah sekolah dan memudahkan untuk dibantu.

Kerajaan kini menggalakkan Sekolah Berasrama 1Malaysia dengan menjadikan sekolah berasrama semasa lebih berciri pelbagai kaum dalam komposisi pelajar dan menubuhkan sekolah asrama berkualiti tinggi yang terbuka kepada semua.
Selain itu, dokumen Program Transformasi Kerajaan juga mahu institusi latihan perguruan menyediakan guru yang mempunyai pengetahuan, daya kesedaran dan kemahiran yang menjadikan mereka sensitif terhadap latar belakang pelajar yang berbeza-beza dan menangani perhubungan antara kaum dalam kaedah yang positif dan proaktif.

Selamat Datang


Alhamdulilah akhirnya blog Panitia Bahasa Melayu bagi Sek.Men.Keb Abdul Rahim dapat disiapkan. Blog ini masih memerlukan banyak bahan yang pelbagai untuk dikongsikan bersama. Semoga dengan wujudnya blog ini kita dapat bersama-sama berkongsi maklumat serta bahan yang ada. Terima kasih kepada semua ahli panitia yang sentiasa bekerjasama dalam menjalankan setiap perancangan yang diatur. Insyaallah dengan kerjasama ini dapat memartabatkan Bahasa Melayu sekaligus meningkatkan prestasi para pelajar yang dikasihi. Amin.