Thursday 24 November 2011

Deklamasi Sajak sempena Bulan Kemerdekaan









~Selamat Datang 2012, Selamat Tinggal 2011~

Rasanya tidak terlalu awal untuk mengucapkan Selamat Datang kepada 2012. Sesi persekolahan 2011 sudah pun tamat dan guru-guru serta pelajar sibuk membuat persediaan untuk 2012. Pihak Panitia BM juga telah merangka pelbagai program untuk tahun 2012. Pertama sekali adalah mengemaskini Blog Panitia ini, mungkin pada 2011 tidak banyak entri dapat dibuat kerana kekangan masa semua ahli panitia.

Harapnya 2012 ini perancangan kita semua dapat dilaksanakan.

"Bahasa Jiwa Bangsa"

LATAR BELAKANG KELAS MUTIARA

Nama Program: Program Basmi Masalah 2M (Kelas Mutiara)
Objektif: Memastikan kesemua pelajar yang telah dikenal pasti bermasalah dapat         
              dipulihkan selewat-lewatnya Julai 2011.

AJK Khas

Penyelaras: Cik Yap Nyuk Mui
                 En. Husmi Hj Hussin

Pelaksana: En. Husmi Hj Hussin
                En. Joseph Gediun
                En. Mohd Khairuddin Abd Hamid
                Pn. Mazni Samsuri
                Cik Yap Nyuk Mui
                Pn Noor Aida Abdullah
                Cik Nur Syahida ab Manap
                Pn. Siti Kamilah Idris

Prosedur Kerja:
1. Penyediaan Kertas Konsep/ Kertas Kerja
2. Mengadakan Ujian Diagnostik tingkatan 1
3. Mengenalpasti pelajar sasaran
4. Mengadakan mesyuarat/perbincangan untuk pelaksanaan.
5. Mengenal pasti pelajar berkenaan untuk menduduki ujian Murid Berkeperluan Khas
6. Memilih, memperbanyakkan modul/buku untuk tujuan P&p
7. Menjalankan kelas luar waktu jadual rasmi sekolah. (Mentor Mentee)
8. Menjalankan ujian
9. Membuat analisis ujian untuk tujuan pengasingan murid
10.Meneruskan Kelas Bimbingan.
11. Proses Dokumentasi

Tanggungjawab Mentor:
1. Memberi bimbingan kepada mentee yang telah ditetapkan
2. Memastikan mentee mengambil ujian yang ditetapkan.
3. Membantu penyelaras menyediakan, menjalankan serta membuat analisis ujian
4. Memberikan bimbingan serta latihan tambahan jika mentee tidak menunjukkan   
    peningkatan pencapaian.
5. Memberi cadangan dari segi bahan dan cara pelaksanaan program agar lebih berkesan.
6. Membuat dokumentasi program.

JADUAL KERJA PROGRAM BASMI 2M

TARIKH/BULAN
AKTIVITI
TINDAKAN
JAN
UJIAN PENGESANAN
PENYELARAS
FEB
PERBINCANGAN PENYELARASAN PELANCARAN PROGRAM
PENYELARAS

SEMUA MENTOR
MAC
SESI BIMBINGAN

UJIAN PENGESANAN

PELAPORAN BULANAN

SEMUA MENTOR
APRIL
SESI BIMBINGAN

UJIAN PENGESANAN

PELAPORAN BULANAN

SEMUA MENTOR
MEI
UJIAN PASCA BIMBINGAN

PELAPORAN AKHIR
SEMUA MENTOR

PENYELARAS

Kata Adjektif Berpelengkap

Benarkah ada kata adjektif berpelengkap? Apakah pengertian pelengkap?

Pelengkap ialah unsur yang menjadi pencukup pada sesuatu kata kerja tak transitif. Hanya kata kerja tak transitif mempunyai pelengkap. Perkataan yang berfungsi sebagai pelengkap ini berasal daripada golongan kata nama. Memang itulah fungsi kata nama ini, yakni untuk melengkapkan maksud kata kerja tak transitif. Contohnya: ada rumah, berjalan kaki, menjadi guru, bertemu muka dan beratap nipah.

Kata ada, berjalan, menjadi, bertemu, dan beratap dalam senarai itu ialah kata kerja tak transitif, Semua kata kerja tak transitif itu diikuti oleh kata nama rumah, kaki, guru, muka dan nipah. Semua kata nama tersebut bukan objek kepada kata kerja tak transitif yang disenaraikan. Objek merupakan unsur yang letaknya di belakang kata kerja transitif (seperti menyepak bola, menggoreng ikan dan menjahit kain). Kata nama yang mengikuti kata kerja tak transitif itu berfungsi sebagai pelengkap untuk menimbulkan makna yang khusus dan tertentu. Oleh yang demikian, kata kerja tak transitif yang diikuti oleh kata nama dikenal sebagai kata kerja tak transitif berpelengkap.

Para pelajar harus sudah faham bahawa kata kerja tak transitif bahasa Melayu ada yang tidak memerlukan pelengkap. Kata kerja ini dinamakan kata kerja tak transitif tanpa pelengkap kerana kata kerja ini boleh berdiri sendiri. Kata-kata kerja seperti berbual, menguning, pulang, tersenyum dan tidur ialah kata kerja yang boleh berdiri sendiri, iaitu tidak perlu bergantung pada unsur lain untuk melengkapkan makna atau maksud dalam ayat.
Selain menjadi pelengkap kepada kata kerja tak transitif, kata nama juga dapat menjadi pelengkap kepada kata adjektif. Oleh itu, kata adjektif berpelengkap ini terbina daripada kata adjektif yang secara terikat diikuti oleh kata nama. Dengan adanya pelengkap kepada kata adjektif itu, maka terhasillah satu makna sintaksis yang khusus dan tentu.

Sebagaimana kata kerja tak transitif berpelengkap yang menimbulkan makna kiasan (seperti ada angin, berbadan dua, dan naik angin), dan makna bukan kiasan (misalnya ada rumah, beranak dua, dan naik bas), demikian jua halnya dengan kata adjektif berpelengkap.
Antara kata adjektif berpelengkap yang membawa maksud kiasan termasuklah baik budi, banyak cakap, berat mulut, besar kepala, gila bayang, jauh hati, dan panjang tangan. Semua kata adjektif berpelengkap itu membawa erti kiasan. Bentuk kata begini disebut simpulan bahasa. Simpulan bahasa ialah ungkapan yang terdiri daripada dua perkataan atau lebih dan mempunyai makna yang berlainan daripada erti perkataan-perkataan yang membentuknya.

Kata adjektif berpelengkap atau simpulan bahasa baik budi bermakna baik hati. Baik hati pula bermaksud bersikap baik atau penyayang. Gila bayang membawa maksud cinta kepada seseorang yang tidak tahu akan cintanya (tidak berbalas), tetapi jika gila bayang-bayang maksudnya perasaan ingin akan seseorang yang tidak mungkin diperoleh.

Selain kata adjektif berpelengkap yang membawa makna kiasan, ada pula yang tidak membawa erti kiasan, yakni membawa erti biasa sahaja. Misalnya rangkai kata sakit kaki, sakit gigi, sakit mulut, buta mata dan beberapa yang lain. Semua rangkai kata yang tersenarai tiada membawa makna yang tersirat.

Jelaslah juga bentuk simpulan bahasa yang terhasil daripada kata adjektif berpelengkap merupakan satu bentuk gaya bahasa dalam bentuk bahasa yang bertatabahasa. Dengan kata lain, unsur tatabahasa dan gaya bahasa berkait rapat. Pelajar bukan sahaja memahami tatabahasa, malah mengetahui pula gaya bahasa. Unsur bahasa yang dikatakan simpulan bahasa itu sesuatu yang bersistem, iaitu terbentuk daripada aturan tatabahasa. Dengan demikian para pelajar bukan sahaja mempelajari kata adjektif berpelengkap, malah pelajar juga mempelajari unsur gaya bahasa.

(Sumber: Portal Pendidikan Utusan)

NOVEL DI SEBALIK WAJAH TINGKATAN 2

Di Sebalik Wajah
(Abang Saifuddin Abang Bohari)
Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum KPM) 

Sinopsis           
Cerita Di Sebalik Wajah mengisahkan seorang remaja iaitu Doktor Fikri yang cacat kulitnya iaitu balar.  Nama Doktor Fikri diberikan oleh bapanya sempena nama seorang doktor yang telah mendoakan keselamatan ibunya sewaktu melahirkannya. Disebabkan nama dan kecacatan kulitnya yang balar Doktor Fikri sering diejek dan diketawakan.  Namun begitu, dia tabah menerima segala dugaan yang menimpa dirinya.  Pertukaran ke sekolah Menengah Kebangsaan Menggatal banyak memberikan pengalaman baharu kepadanya.  Josy, Dayang Mahani, Suriani, Sanin dan Aziz  dapat menerima kehadirannya di sekolah itu.  Mereka berkawan baik sehinggalah Doktor Fikri dianiaya oleh tiga orang murid iaitu Narius, Jais dan Jamadi yang juga sering mengganggu murid lain.

Satu laporan salah laku mereka telah dibuat kepada guru disiplin iaitu Cikgu Wahab. Hal ini menyebabkan mereka berdendam kepada Doktor Fikri.   Narius dan kawan-kawannya meletakkan buku-buku perpustakaan dan beberapa dompet ke dalam beg sekolah Doktor Fikri.  Guru disiplin telah membuat pemeriksaan mengejut ke setiap kelas.  Doktor Fikri telah dipanggil dan disoal siasat namun dia hanya mendiamkan diri.  Selepas kejadian tersebut, kawan-kawannya mula menjauhkan diri kecuali Josy yang masih setia memberikan perangsang dan semangat serta memintanya bersabar dengan dugaan yang menimpa.

Semasa sukan tahunan sekolah, Doktor Fikri gagal menamatkan larian 1500 meter dan pengsan.  Dia juga kehilangan basikal yang baru dibeli dengan duit simpanannya sendiri.   Pada suatu hari seorang murid mengadu kepada Cikgu Wahab bahawa dia ternampak Narius dan rakan-rakannya mencuri basikal doktor Fikri.  Hal ini dilaporkan ke balai polis.  Narius dan rakan-rakannya ditangkap atas pelbagai kesalahan yang dilakukan.  Mereka ditahan di lokap.  Jais dan Jamadi dijamin oleh keluarga masing-masing.  Narius tidak dapat dibebaskan kerana keluarganya miskin.  Doktor Fikri dan bapanya dipanggil untuk mengambil semula basikalnya.  Semasa di balai polis, Doktor Fikri ternampak Narius sedang menangis di samping bapanya yang sudah uzur.  Doktor Fikri meminta ayahnya menjamin Narius.

Semenjak hari itu, Narius, Jais dan Jamadi insaf dan berubah menjadi baik.  Mereka mengaku kepada murid lain bahawa merekalah yang menganiaya Doktor Fikri. Namun, pada masa yang sama, Doktor Fikri berhijrah ke Jepun kerana bapanya bertugas di sana.  Setelah setahun, Doktor Fikri dan keluarganya balik bercuti di Malaysia.  Kepulangan Doktor Fikri disambut dengan gembira oleh rakan-rakannya. Keluarga Doktor Fikri mengisi cuti mereka dengan bersama-sama mendaki puncak Gunung Kinabalu seperti yang dihasratkan oleh Doktor Fikri. 

Tema 

Ketabahan seorang remaja menghadapi kekurangan diri dalam kehidupan hariannya. Doktor Fikri yang cacat kulitnya iaitu balar, terpaksa menerima ejekan, sindiran dan cemuhan daripada pelajar-pelajar lain di sekolahnya.

Persoalan  

1.    Persoalan rajin membaca
Contoh: Doktor Fikri sentiasa mengisi masa lapangnya dengan membaca dan kerap pergi ke perpustakaan untuk meminjam buku.
  
2.    Persoalan menghargai persahabatan
Contoh: Josy tetap berkawan dengan Doktor Fikri walau apa jua rintangan dan tuduhan yang dilemparkan kepadanya.
  
3.    Persoalan kasih sayang antara ahli keluarga
Contoh: Cikgu Saiful dan Puan Halipah memberikan sepenuh kasih sayang kepada Doktor Fikri.  Semua kemahuan Doktor Fikri dipenuhi oleh mereka.
  
4.    Persoalan keinsafan
Contoh: Narius, Jais dan Jamadi berubah sikap dan insaf atas kesalahan mereka terhadap Doktor Farid, lebih-lebih lagi setelah Doktor Farid menyuruh bapanya menjamin Narius di balai polis.
  
5.    Persoalan aplikasi Ilmu
Contoh: Doktor Farid mengaplikasi pengetahuan menanam sayur-sayuran, memelihara ayam dan menjualnya di Tamu daripada mata pelajaran Kemahiran Hidup yang dipelajarinya.
  
6.    Persoalan kemahiran menguasai ilmu elektronik
Contoh: Kemahiran menguasai ilmu elektronik perlu diterapkan pada peringkat awal pendidikan lagi seperti yang dijalankan di Jepun bagi memastikan remaja lebih ke arah inovasi.
  
7.    Persoalan berdikari
Contoh: Doktor Farid berusaha sendiri untuk mencapai cita-cita yang diinginkannya walaupun mendapat tentangan awal daripada ayahnya.  Doktor Fikri berjaya mengusahakan kebun sayur dan membela ayam.  
  
8.    Persoalan pasrah menerima ketentuan Tuhan
Contoh: Cikgu Saiful dan Puan Halipah pasrah menerima takdir Tuhan apabila anak yang dilahirkan cacat iaitu balar kulitnya.
  
9.    Persoalan taat akan perintah agama
Contoh: Cikgu Saiful dan keluarganya sering sembahyang bersama-sama di rumah.


 Binaan Plot
Secara kronologi – peristiwa disusun mengikut urutan masa

Permulaan
Memperkenalkan watak Doktor Fikri iaitu anak kepada Cikgu Saiful dan Puan Halipah yang dilahirkan cacat iaitu balar kulitnya.

Perkembangan
Doktor Fikri berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan Menggatal dalam tingkatan dua.  

Perumitan
Doktor Fikri sering diejek oleh pelajar lain, dibuli dan difitnah oleh Narius, Jais dan Jamadi.

Puncak
Narius, Jais dan Jamadi mengaku kesalahan mereka yang memfitnah Doktor Fikri.


Peleraian
Doktor Fikri dan keluarga pulang bercuti ke Malaysia setelah setahun tinggal di Jepun.  Mereka sekeluarga dalam perjalanan mendaki Gunung Kinabalu.

Teknik Plot
1.  Dialog
“Nama saya Doktor Fikri.” Doktor Fikri berdiri dan duduk semula.
“Doktor?’ Cikgu Asnawi tergelak.
2.  Monolog
Sewaktu melangkah meninggalkan bilik sembahyang itu dia berkata, “Ya Allah, lahirkanlah lebih ramai doktor Melayu yang kuat beribadat kepada-Mu.”
 3.  Monolog dalaman
“Comelkah anakku? Adakah menyerupai rupaku? Cerahkah kulitnya? Ya Allah moga-moga kulit anakku putih, tidak seperti kulitku yang hitam legam ini.” Itulah soalan-soalan yang timbul dalam fikirannya yang belum lagi melihat anak sulungnya.
 4.  Imbas kembali
Cikgu Saiful teringat kembali perbualan dengan Puan Halipah semasa menghantarnya ke klinik Doktor Nadia bagi pemeriksaan ibu mengandung.
 5.  Imbas muka
Doktor Fikri bermimpi diserang oleh seekor naga semasa tidur di rumah rehat Panalaban.
 6.  Pemerian
Peristiwa pengarang menggambarkan penantian Cikgu Saiful menunggu kelahiran anak sulungnya semasa di hospital.
 7.  Konflik
Doktor Fikri tidak mahu membayar cukai keselamatan yang dipaksa oleh Narius, Jais dan Jamadi.
 8.  Kejutan
Pembaca dikejutkan dengan peristiwa Doktor Fikri tiba-tiba berpindah ke Jepun kerana ayahnya bertugas di sana.
 9.  Suspen
 Pembaca tertanya-tanya mengapa Doktor Fikri tidak hadir ke sekolah selama dua hari.  

 Watak dan Perwatakan
Watak Utama
  Doktor Fikri

Ø  Pelajar tingkatan dua – berumur 14 tahun
Ø  Cacat kulit - balar
Ø  Tabah – menghadapi dugaan seperti diejek sifat fizikalnya
Ø  Rajin membaca – sentiasa membaca buku jika ada masa lapang
Ø  Penyayang – menyayangi keluarga dan rakan-rakan
Ø  Berdikari – berusaha sendiri untuk menambah tabungan dengan menjual hasil tanaman dan ayam ternakannya

Watak Sampingan
 Cikgu Saiful
Ø          Bapa Doktor Fikri
Ø          Penyayang – amat sayang kepada Doktor Fikri
Ø          Bertanggungjawab – sentiasa bertanggungjawab terhadap keluarga
Ø          Taat kepada agama – melakukan sembahyang berjemaah bersama-sama keluarga

Puan Halipah
Ø          Ibu Doktor Fikri
Ø          Bertanggungjawab – menyediakan bekal makanan untuk Doktor Fikri ke sekolah
Ø          Prihatin – sentiasa memeriksa buku latihan Doktor Fikri apabila Doktor Fikri pulang
       dari sekolah
Ø          Penyayang – memberikan sokongan moral semasa Doktor Fikri mengambil bahagian
       dalam acara sukan
      
Josy
 Ø          Pelajar Tingkatan Dua Melati Sekolah Menengah Kebangsaan Menggatal
Ø  Prihatin – sentiasa mengambil berat tentang masalah Doktor Fikri dan memberikan semangat kepadanya
Ø  Teguh pendirian – tidak mudah mempercayai fitnah yang dilemparkan oleh Narius dan rakan-rakannya terhadap Doktor Fikri

 Narius
Ø  Pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Menggatal
Ø  Berbadan besar
Ø  Bermasalah disiplin – selalu membuli Doktor Fikri/ cuba memeras ugut Doktor Fikri/
       mencuri basikal Doktor Fikri
Ø  Insaf akan kesalahan lalu – berubah menjadi seorang pelajar yang baik apabila Cikgu Saiful  menjaminnya setelah ditahan di lokap kerana kesalahan cuba mengopak cermin kereta.
  
Cikgu Wahab
Ø  Guru Disiplin Sekolah Menengah Kebangsaan Menggatal
Ø  Garang – merotan pelajar yang melakukan kesalahan
Ø  Bertimbang rasa – membenarkan Sanin makan di kantin di luar waktu rehat setelah 
       Sanin memberikan alasan bahawa dia terlalu lapar

Dayang Mahani

Ø  Pelajar Tingkatan Dua Mawar Sekolah Menengah Kebangsaan Menggatal
Ø  Kawan Doktor Fikri
Ø  Mudah terpengaruh – percaya bahawa Doktor Fikri seorang pencuri setelah Cikgu 
       Wahab menjumpai barang curi di dalam beg Doktor Fikri lalu terus memulaukannya

Latar

Latar Masa

Ø  Pagi – peristiwa Doktor Fikri datang lewat ke sekolah dan ditegur oleh Cikgu Wahab, guru disiplin sekolah.
Ø  Petang – Narius, Jais dan Jamadi sedang menunggu Doktor Fikri  di bawah sebatang pokok yang rendang untuk meminta duit cukai keselamatan.
Ø  Malam – Keluarga Cikgu Saiful tidur di rumah rehat Panalaban sebelum meneruskan perjalanan mereka mendaki Gunung Kinabalu.


Latar Tempat
Ø  Sekolah Menengah Kebangsaan Menggatal
Tempat Doktor Fikri dan rakan-rakannya bersekolah.
Ø  Rumah Cikgu Saiful
Rakan-rakan Doktor Fikri datang membantunya membungkus sayur-sayuran untuk di    
jual di Tamu.
Ø  Pasar Tamu
Doktor Fikri dan rakan-rakanya menjual sayur-sayuran di pasar Tamu tetapi tidak lama
Kerana hujan turun dengan lebatnya.
Ø  Gunung Kinabalu
Doktor Fikri dan keluarganya dalam perjalanan untuk mendaki puncak Gunung  
Kinabalu.
Ø  Balai polis
Doktor Fikri dan ayahnya mengambil semula basikal yang dicuri oleh Narius, Jais dan
Jamadi.  Cikgu Saiful juga menjamin Narius keluar dari lokap tersebut atas permintaan       
Doktor Fikri.
Ø  Hospital Ratu Elizabeth
Cikgu Saiful menunggu isterinya Puan Halipah melahirkan anak sulung mereka.

Latar Masyarakat
Ø  Masyarakat pelajar
Doktor Fikri, Josy, Dayang Mahani, Suriani, Sanin dan Aziz belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Menggatal.
Ø  Masyarakat guru
Cikgu Wahab, Cikgu Girlie dan Cikgu Fatmawati mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Menggatal.
Ø  Masyarakat yang prihatin
 Josi amat prihatin kepada Doktor Fikri yang sering diejek dan disihkan oleh pelajar lain.
Ø  Masyarakat yang bertanggungjawab
Cikgu Saiful dan Puan halipah merupakan ibu bapa yang bertanggungjawab menjalankan tugas sebagai ibu bapa.
Ø  Masyarakat yang taat kepada perintah agama
Cikgu Saiful dan keluarganya sering menunaikan sembahyang bersama-sama bagi mengeratkan kasih sayang antara ahli keluarga.
Ø  Masyarakat penyayang
      Cikgu Saiful dan Puan Halipah amat menyayangi doktor Fikri walaupun anak mereka  
      cacat.
Ø  Masyarakat yang pasrah kepada ketentuan Tuhan
      Cikgu Saiful dan Puan Halipah pasrah mendapat anak mereka yang cacat kulitnya.


Gaya Bahasa 
Ø  Kata Ganda
      Contoh:  kelima-lima, sofa-sofa, terhinggut-hinggut, jari-jemari, warna-warni
Ø  Peribahasa
      Contoh:  buku lima, keras hati
Ø  Pengaruh bahasa asing
      Contoh:  bahasa Arab (Allah, nauzubillahiminzalik), bahasa Inggeris (nurse)
Ø  Hiperbola
      Contoh:  Apabila cahaya matahari yang terlalu tajam menembusi ruang di dalam kelas itu, matanya hampir tertutup.
Ø  Simile
      Contoh:  Ada yang menepuk-nepuk meja, ada pula yang bersuara seperti katak memanggil hujan.
Ø  Pengulangan kata atau repitisi
      Contoh:  Sap! Sap! Sap!
Ø  Sinkope
      Contoh:  Ampun cikgu, saya tak buat lagi!
Ø  Personifikasi
      Contoh:  Hanya daun-daunnya yang melambai lembut seolah-olah berbisik kepada pelajar yang berada di dalam pagar itu.

Nilai 

Ø  Nilai kasih sayang
     Contoh: Cikgu Saiful, Puan Halipah dan Doktor Fikri saling menyayangi antara satu sama lain.
Ø  Nilai keinsafan
Contoh: Narius akhirnya insaf akan semua kesalahan yang dilakukannya terhadap Doktor Fikri.
Ø  Nilai keberanian
Contoh: Doktor Fikri berani melawan Narius, Jais dan Jamadi yang meminta wang yang kononnya sebagai cukai keselamatan terhadap pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Menggatal.
Ø  Nilai ketabahan
Contoh: Doktor Fikri tabah menghadapi ejekan, sindiran dan fitnah yang dilemparkan kepadanya.
Ø  Nilai kerajinan
Contoh: Doktor Fikri rajin membaca buku dan mengusahakan kebun sayur-sayuran serta ternakan ayamnya.
Ø  Nilai menghormati orang tua
Contoh: Josy, Dayang Mahani, Suriani, Sanin dan Aziz bersalaman dengan Puan Halipah semasa mereka berkunjung ke rumah Doktor Fikri.  
Pengajaran

Ø  Kita hendaklah menyayangi ahli keluarga.
Contoh: Cikgu Saiful, Puan Halipah dan Doktor Fikri yang saling menyayangi antara satu sama lain.
Ø  Kita hendaklah insaf akan kesalahan yang telah dilakukan.
Contoh: Narius akhirnya insaf akan semua kesalahan yang dilakukannya terhadap Doktor Fikri.
Ø  Kita haruslah berani memperrtahankan  hak kita.
Contoh: Doktor Fikri berani melawan Narius, Jais dan Jamadi yang meminta wang yang kononnya sebagai cukai keselamatan terhadap pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Menggatal.
Ø  Kita perlu tabah menghadapi sebarang masalah dalam kehidupan. 
Contoh: Doktor Fikri tabah menghadapi ejekan, sindiran dan fitnah yang dilemparkan kepadanya.
Ø  Kita haruslah mengamalkan sikap rajin.
Contoh: Doktor Fikri rajin membaca buku dan mengusahakan kebun sayur-sayuran serta ternakan ayam.
Ø  Kita haruslah menghormati orang yang lebih tua daripada kita. 
Contoh: Josy, Dayang Mahani, Suriani, Sanin dan Aziz bersalaman dengan Puan Halipah semasa mereka berkunjung ke rumah Doktor Fikri.