Thursday 24 November 2011

Kata Adjektif Berpelengkap

Benarkah ada kata adjektif berpelengkap? Apakah pengertian pelengkap?

Pelengkap ialah unsur yang menjadi pencukup pada sesuatu kata kerja tak transitif. Hanya kata kerja tak transitif mempunyai pelengkap. Perkataan yang berfungsi sebagai pelengkap ini berasal daripada golongan kata nama. Memang itulah fungsi kata nama ini, yakni untuk melengkapkan maksud kata kerja tak transitif. Contohnya: ada rumah, berjalan kaki, menjadi guru, bertemu muka dan beratap nipah.

Kata ada, berjalan, menjadi, bertemu, dan beratap dalam senarai itu ialah kata kerja tak transitif, Semua kata kerja tak transitif itu diikuti oleh kata nama rumah, kaki, guru, muka dan nipah. Semua kata nama tersebut bukan objek kepada kata kerja tak transitif yang disenaraikan. Objek merupakan unsur yang letaknya di belakang kata kerja transitif (seperti menyepak bola, menggoreng ikan dan menjahit kain). Kata nama yang mengikuti kata kerja tak transitif itu berfungsi sebagai pelengkap untuk menimbulkan makna yang khusus dan tertentu. Oleh yang demikian, kata kerja tak transitif yang diikuti oleh kata nama dikenal sebagai kata kerja tak transitif berpelengkap.

Para pelajar harus sudah faham bahawa kata kerja tak transitif bahasa Melayu ada yang tidak memerlukan pelengkap. Kata kerja ini dinamakan kata kerja tak transitif tanpa pelengkap kerana kata kerja ini boleh berdiri sendiri. Kata-kata kerja seperti berbual, menguning, pulang, tersenyum dan tidur ialah kata kerja yang boleh berdiri sendiri, iaitu tidak perlu bergantung pada unsur lain untuk melengkapkan makna atau maksud dalam ayat.
Selain menjadi pelengkap kepada kata kerja tak transitif, kata nama juga dapat menjadi pelengkap kepada kata adjektif. Oleh itu, kata adjektif berpelengkap ini terbina daripada kata adjektif yang secara terikat diikuti oleh kata nama. Dengan adanya pelengkap kepada kata adjektif itu, maka terhasillah satu makna sintaksis yang khusus dan tentu.

Sebagaimana kata kerja tak transitif berpelengkap yang menimbulkan makna kiasan (seperti ada angin, berbadan dua, dan naik angin), dan makna bukan kiasan (misalnya ada rumah, beranak dua, dan naik bas), demikian jua halnya dengan kata adjektif berpelengkap.
Antara kata adjektif berpelengkap yang membawa maksud kiasan termasuklah baik budi, banyak cakap, berat mulut, besar kepala, gila bayang, jauh hati, dan panjang tangan. Semua kata adjektif berpelengkap itu membawa erti kiasan. Bentuk kata begini disebut simpulan bahasa. Simpulan bahasa ialah ungkapan yang terdiri daripada dua perkataan atau lebih dan mempunyai makna yang berlainan daripada erti perkataan-perkataan yang membentuknya.

Kata adjektif berpelengkap atau simpulan bahasa baik budi bermakna baik hati. Baik hati pula bermaksud bersikap baik atau penyayang. Gila bayang membawa maksud cinta kepada seseorang yang tidak tahu akan cintanya (tidak berbalas), tetapi jika gila bayang-bayang maksudnya perasaan ingin akan seseorang yang tidak mungkin diperoleh.

Selain kata adjektif berpelengkap yang membawa makna kiasan, ada pula yang tidak membawa erti kiasan, yakni membawa erti biasa sahaja. Misalnya rangkai kata sakit kaki, sakit gigi, sakit mulut, buta mata dan beberapa yang lain. Semua rangkai kata yang tersenarai tiada membawa makna yang tersirat.

Jelaslah juga bentuk simpulan bahasa yang terhasil daripada kata adjektif berpelengkap merupakan satu bentuk gaya bahasa dalam bentuk bahasa yang bertatabahasa. Dengan kata lain, unsur tatabahasa dan gaya bahasa berkait rapat. Pelajar bukan sahaja memahami tatabahasa, malah mengetahui pula gaya bahasa. Unsur bahasa yang dikatakan simpulan bahasa itu sesuatu yang bersistem, iaitu terbentuk daripada aturan tatabahasa. Dengan demikian para pelajar bukan sahaja mempelajari kata adjektif berpelengkap, malah pelajar juga mempelajari unsur gaya bahasa.

(Sumber: Portal Pendidikan Utusan)

No comments:

Post a Comment